Wednesday, July 10, 2013

5 KOSMETIK MENGANDUNGI RACUN BERJADUAL


Bakal-bakal ibu sekalian, beware of the cosmetic used daily..

5 KOSMETIK MENGANDUNGI RACUN BERJADUAL

KUALA LUMPUR 15 Mei - Kementerian Kesihatan berjaya mengesan lima produk kosmetik yang mengandungi racun berjadual iaitu betamethasone dan logam merkuri yang tidak dibenarkan dijual di Malaysia.

Antara produk tersebut ialah Cellnex Anti Sensitive Essence Treatment keluaran Europe Cosmeceutical Industries Sdn. Bhd. yang mengandungi betamethasone manakala Natural 99 Night Cream dan Natural 99 Day Cream masing-masing keluaran Auraqu Enterprise dikesan terdapat logam merkuri.

Dua lagi produk keluaran SF Infinity Resources, SF Beauty Night Cream (Facial) dan SF Beauty Day Cream (Facial) turut dikesan mengandungi racun berjadual merkuri.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasinya, Datuk Eisah A. Rahman berkata, betamethasone adalah sejenis kortikosteriod yang biasanya digunakan dalam rawatan masalah kulit seperti ekzema, serborrhoeic dermatitis, psoriasis dan alahan kulit.

Jelasnya, penggunaan jangka panjang bahan ini tanpa pengawasan boleh mengakibatkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, kesan rekahan, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko diserap masuk dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.

"Produk kosmetik yang dicampur dengan logam merkuri bagi tujuan mencerahkan kulit dan rawatan anti penuaan pula adalah tidak dibenarkan kerana boleh mengakibatkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf, selain mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang terdedah dengan bahan ini.

"Justeru, pengguna dinasihat untuk mengelak daripada mengguna dan membeli produk-produk yang mengandungi racun berjadual berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Eisah, pihak syarikat yang bertanggungjawab ke atas notifikasi produk berkenaan telah dinasihat dan diarah untuk memberhentikan penjualan dan pembekalan dengan serta-merta serta menarik balik produk dalam tempoh 72 jam.

"Syarikat yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000.

"Penjual juga diingatkan, pemilikan produk-produk ini juga boleh disabit kesalahan di bawah peraturan sama yang memperuntukan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130516/dn_23/5-kosmetik-mengandungi-racun-berjadual#ixzz2XmaDAL9b
© Utusan Melayu (M) Bhd

0 comments on "5 KOSMETIK MENGANDUNGI RACUN BERJADUAL"

Post a Comment

 

Panduan Ibu Mengandung © 2009 All Rights Reserved Baby Blog Designed by Ipiet | Images by Tadpole's Notez | Blog Templates created by Web Hosting Men